Friday 20 April 2012

KEISTEMEWAAN TAMADUN ISLAM



Keistimewaan dan Keunikan Tamadun Islam 


1) Tamadun Islam merupakan tamadun yang bersifat kewahyuan 

Tamadun Islam bersumberkan anjuran-anjuran al-Quran dan bimbingan sunah Rasul S.A.W. Ini bermaksud tamadun Islam adalah tamadun yang terbentuk berdasarkan panduan dan prinsip yang dibawa oleh nabi Muhammad S.A.W sebagaimana yang diutuskan oleh Allah taala. Ianya bukan tamadun yang lahir daripada akal atau nafsu manusia. Justeru prinsip dan dasar tamadun adalah bersifat tetap kerana penentu nilainya adalah al-Quran dan Sunnah Nabi. 


2) Tamadun Islam berorientasikan kemanusiaan 


Fokus utama yang diterapkan dalam ketamadunan Islam adalah pembinaan individu yang bersepadu dai segi roh, akal dan jasad yang akhirnya akan membentuk keluarga, masyarakat dan negara yang sihat. Walaubagaimanapun nilaian aspek-aspek luaran tidak ditinggalkan malah juga dianggap penting bagi menjamin kesejahteraan hidup manusia dan memenuhi fitrah manusia yang inginkan keduniaan berasaskan kepada batasan-batasan yang digariskan oleh Islam. 


3) Tamadun islam merupakan tamadun yang seimbang dan sepadu. 

Islam menghormati kecenderungan dan fitrah manusia. Anjuran ini jelas apabila Islam bukan hanya menekankan kerohanian semata-semata tetapi unsur kerohanian diambil kira tanpa menyisihkan unsur kebendaan. Keseimbangan dan kesepaduannya dapat dilihat dari sudut kepercayaan, ibadah, kerohanian dan kebendaan, individu dan masyarakat serta batas kebebasan individu. 


4) Tamadun Islam ialah tamadun yang bermatlamat 

Matlamat asas adalah untuk membawa manusia mencapai kejayaan bukan hanya di dunia tetapi lebih utama lagi di akhirat. Justeru itukemajuan dan pembangunan adalah bermatlamatkan pengabdian diri kepada Allah. Sekiranya setiap insan menyedari, menghayati dan melaksanakan matlamat ini maka kita akan lihat hasilnya iaitu semakin tinggi tamadun itu dapat diwujudkan maka manusianya akan semakin tunduk kepada Allah. 


5) Tamadun Islam ialah tamadun yang Universal (menyeluruh) dan Syumul (sempurna). 

Universal bermaksud ianya tidak merujuk kepada mana-mana bangsa tertentu tetapi menjadi milik semua umat Islam tidak kira dimana sahaja berada. Ianya dibangunkan oleh pelbagai bangsa dengan perbezaan bahasa. Manakala syumulnya pula meliputi semua zaman dan merangkumi seluruh kejadian dan peringkat kehidupan serta lapangan hidup manusia, dahulu, kini dan selamanya. 


6) Tamadun islam bersifat terbuka kepada semua tamadun 

Ia bersifat mengambil dan memberi. Mengambil pengalaman yang berguna dari tamadun-tamadun lain seperti Yunani, Parsi dan sebagainya lalu disesuaikan dengan unsur-usur Islam. Maka lahirlah pencapaian yang bercorak dan berbentuk Islam. Memberi pula bermaksud mempersembahkan kepada tamadun asing pencapaian-pencapaian yang diperolehi. Sifat terbuka ini menjadikan tamadun islam sentiasa berkembang dan maju dan menjamin kewujudannya sepanjang zaman. 

No comments:

Post a Comment