Sunday 25 March 2012

Pengertian Tamadun Islam [KONSEP TAMADUN ISLAM]



Menurut Profesor Syed Naquib Al-Attas, Tamadun Islam membawa satu takrif :

“ Keadaan kehidupan insan bermasyarakat yang telah mencapai taraf kehalusan tatasusila dan kebudayaan yang luhur bagi seluruh masyarakat.”

Ibnu Khaldun menghuraikan maksud peradaban atau Tamadun Islam ini sebagai :

“Pencapaian manusia yang sudah melebihi keperluan asasi kehidupan sehingga dapat  membuka jalan ke arah pemikiran dan penghasilan daya cipta yang lebih halus dan mempunyai nilai-nilai seni.”

Dari sudut bahasa Arab, terdapat beberapa istilah yang digunakan dalam konteks Tamadun Islam iaitu :
      i.        Madaniah
     ii.        Tamadun
    iii.        Hadarah
    iv.        Umran

Ibnu Khaldun dalam kitabnya Al-Muqaddimah memberi erti :

      i.        Umran sebagai kawasan tanah yang didiami , tinggal menetap , berkembang subur dan maju.
     ii.        Hadarah pula ialah satu daerah , kota , bandar , kampung atau tanah yang diusahakan.
    iii.        Tamadun pula membawa erti, memiliki ciri-ciri hidup bandar atau bertamadun dari aspek yang akan diterangkan dalam ciri-ciri tamadun nanti. 

ASAS-ASAS TAMADUN ISLAM

Tamadun Islam mempunyai asas-asas yang kukuh yang membolehkannya menjadi satu tamadun yang hebat di dunia. Asas-asas tersebut ialah:

1.    AKIDAH
Merupakan iman atau kepercayaan kepada Allah S.W.T yang diikat oleh ucapan dua kalimah syahadah. Akidah merupakan asas tamadun islam yang paling utama sekali. Kekuatan akidah dapat membantu manusia membezakan antara yang buruk dan yang baik dan dapat membina tamadun dengan cara yang diredhai.

2.    SYARIAH
Syariah pula merupakan asas Tamadun Islam yang kedua penting selepas akidah. Ia mengandungi peraturan-peraturan dan undang-undang yang telah ditetapkan oleh Allah S.W.T untuk dipatuhi dan dilaksanakan oleh manusia. Sifatnya yang muktamad menyebabkan manusia tidak berhak mengubahnya. Segala masalah yang timbul semasa proses pertamadunan dapat diatasi dengan adanya syariah.

3.    AKHLAK
Menurut Islam, akhlak bererti meletakkan keimanan kepada Allah dalam bentuk praktis. Segala perilaku dan perbuatan mestilah berteraskan keimanan untuk membina tamadun yang kukuh dan disegani. 

AGEN PELENGKAP TAMADUN ISLAM

1.    ILMU PENGETAHUAN

Ilmu menurut perspektif Islam hendaklah bermula dari ilmu yang sifatnya rabbani ( ketuhanan ). Keilmuan mengikut Tamadun Islam merupakan nilai yang tidak terpisah dari Islam. Akidah Islam tegak di atas keilmuan. Perhatian Islam terhadap kepentingan ilmu jelas di dalam Al-quran. Dalam surah Al-Alaq, terdapat perkataan Iqra’ ( bacalah ) dan Qalam ( pena ). Ilmu yang tinggi dapat menyuburkan daya keimanan dan pemikiran seorang pembina tamadun. Oleh kerana kepentingan ilmu memberi kebaikan masa hidup dan mati manusia, Islam mewajibkan ke atas setiap muslim menuntut ilmu pengetahuan.

2.    KEKUATAN MATERIAL

      Nilai kebendaan juga penting dalam Tamadun Islam kerana Al-quran Sunnah menekankan ibadah dalam bentuk material seperti menunaikan zakat , jihad mali (harta ) dan lain-lain. Kekuatan material dapat membantu dalam pembangunan sains dan teknologi seperti penyediaan teknologi persenjataan untuk mempertahankan kalimah Allah dan maruah Islam.

CIRI- CIRI TAMADUN ISLAM

Ciri-ciri Tamadun Islam amat penting bagi mewujudkan tamadun yang kukuh dan maju. Antara ciri-ciri Tamadun Islam ialah:

1.    Penggunaan tulisan. Membantu mempercepatkan proses penyebaran kebudayaan Islam dan meningkatkan perkembangan ilmu yang memberi kesan terhadap perubahan dalam semua aspek kehidupan umat.

2.    Kemunculan kota atau bandar bagai menampung pertambahan penduduk yang sedia ada dan yang datang untuk pelbagai aktiviti lain.

3.    Wujudnya ketidakseragaman jenis bangsa yang memeluk Islam dan akhirnya turut sama-sama membentuk sebuah masyarakat Islam yang aktif dan maju. Perbezaan peranan yang dimainkan mealahirkan pembahagian kerja seterusnya wujudnya suatu bentuk ekonomi bandar.

4.    Wujudnya bangunan-bangunan bersejarah yang menjadi keagungan generasi berikutnya seperti istana-istana , masjid-masjid dan monumen-monumen penting yang lain.

5.    Kewujudan negara Islam. Menurut sebahagian penulis antarabangsa, Islam adalah satu ciri Tamadun Islam yang tidak boleh dipertikaikan kerana sebarang aktiviti orang Islam hanya boleh dilakukan dengan bebas di dalam negara Islam.

SUMBER-SUMBER TAMADUN ISLAM

1.    AL – QURAN 

Al – Quran merupakan sumber yang mengarahkan perjalanan tamadun sepanjang sejarah perkembangannya. Cara hidup atau kebudayaan semua orang Islam adalah sebahagian besarnya dipengaruhi oleh ayat-ayat dan idea-idea Al –Quran. Kalau tidak kerana adanya Al –Quran , nescaya Tamadun Islam tidak wujud di dunia ini.

2.    AL – SUNNAH.

Al – Sunnah membawa maksud apa – apa yang disandarkan kepada Nabi Muhammad s.a.w dari segi perkataan , perbuatan , persetujuan atau sifat kejadian , akhlak dan sirahnya sebelum dan sesudah baginda dilantik menjadi rasul.

Peranan Al – Sunnah ialah menjelaskan perkara – perkara yang tidak dijelaskan dalam Al – Quran dan memberi tafsiran bagaimana untuk melaksanakan apa yang kurang jelas dalam Al – Quran.

3.    AL - IJTIHAD 

Ijtihad merupakan pencurahan daya pemikiran secara bersungguh-sungguh untuk dapat sesuatu hukum syara’ mengenai suatu masalah yang tidak terdapat hukumnya secara qat’I atau secara putus dari Al – Quran dan AL – Sunnah. Ijtihad adalah asas keempat dalam pembinaan hukum Islam dan melaluinya hukum baru di sekitar dasar umum yang ditetapkan oleh Al – Quran dan Al – Sunnah dapat ditetapkan.

TAMADUN ASING

Islam tidak menolak segala hasil tamadun-tamadun asing yang tidak bercanggah dengan nilai-nilai Islam. Islam bersifat terbuka kepada semua tamadun, ia bersifat mengambil dan memberi. Islam tidak menentang perkembangan kemajuan tamadun selama ia mendatangkan kebajikan kepada manusia, tetapi akan menentang tamadun palsu yang membawa kemusnahan.


MATLAMAT TAMADUN ISLAM

1.    Hubungan Manusia dengan Allah

Manusia dapat mengenal Allah melalui rukun iman yang enam dan berhubung dengannya melalui rukun Islam yang lima. Pelaksanaan rukun Islam yang lima membuktikan ketinggian iman dan daya kegigihan untuk mematuhi , menyembah dan menyerah diri kepada Allah S.W.T.

2.    Hubungan Manusia Dengan Manusia

Allah S.W.T mengatur cara bagaimana manusia itu berinteraksi di antara satu sama lain dalam membentuk keluarga , jiran , masyarakat , negara , ekonomi kebudayaan dan pendidikan. Pematuhan syarak penting ke arah pembentukan masyarakat dan tamadun khalifah Allah di muka bumi. Kesempurnaan masyarakat hanya dapat disempurnakan dengan adanya tolong-menolong , kerjasama dan perpaduan.

3.    Hubungan Manusia Dengan Alam

Allah menetapkan bagaimana manusia harus bertingkahlaku apabila berhadapan dengan alam. Segala yang ada di lautan dan di daratan dijadikan oleh Allah untuk kepentingan dan kebahagiaan manusia. Penerokaan angkasa lepas , cari gali di perut bumi dan lain-lain meningkatkan keimanan kepada Allah dan Tamadun Islam ke arah kepentingan hidup manusia sejagat.

KEISTIMEWAAN TAMADUN ISLAM

1.    Bersumberkan Kepada Al – Quran Dan Al – Sunnah

Ajaran-ajaran yang dibawa oleh Al-Quran , bimbingan serta panduan yang terdapat didalamnya telah mewujudkan tamadun yang unggul.

2.    Bentuk Tetap

Berbentuk tetap dan bersandarkan kepada kitab Allah , maka ia terpelihara dari keinginan dan hawa nafsu kerana perkara-perkara yang berkaitan dengan halal haram , baik buruk , apa yang boleh dan apa yang tidak boleh , semuanya jelas tertera di dalam kitab Allah dan Sunnah Rasul- Nya.

3.    Terbuka

Tamadun Islam menerima dari pengalaman-pengalaman yang berguna dan mempersembahkan kepada tamadun asing hasil serta pencapaian yang diperoleh.

4.    Bersesuaian Dengan Fitrah Manusia.

Ajaran-ajaran Islam bertujuan untuk kebahagiaan hidup manusia di dunia dan akhirat , maka tidak hairanlah jika Tamadun Islam yang berteraskan kepada ajaran-ajarannya selaras dengan fitrah dan keperluan manusia.

5.    Bersifat Syumul

Islam adalah risalah yang panjangnya meliputi semua zaman , lebarnya mengatur segenap aspek kehidupan manusia dan dalamnya merangkumi setiap persoalan dunia dan akhirat.

PENUTUP

           Konsep Tamadun Islam yang mencakupi pelbagai aspek jelas menunjukkan bahawa Tamadun  Islam        suatu tamadun yang lengkap dan kukuh kerana ianya berlandaskan Al – Quran dan Al – Sunnah. Justeru itu Tamadun Islam merupakan suatu proses pembentukan yang bertolak daripada kalimah tauhid yang diikrarkan oleh setiap anggota. Dengan perkataan lain ikrar itu menjadi kaedah atau asas bagi suatu sistem yang lengkap dan praktik. Alasan ini dapat dikukuhkan dengan firman Allah dalam Surah Yusuf , ayat 40 yang bermaksud :

‘ Keputusan hukum itu kepunyaan Allah. Dia memerintahkan supaya jangan tunduk memperhambakan diri melainkan kepada-Nya. Itulah Addin ( agama ) yang benar.’








Disediakan oleh : Nurhayati Binti Silahhuddin